fb fb fb fb fb

"Usah harap keajaiban di Singapura"- Leclerc

Pemandu Ferrari, Charles Leclerc / REUTERS

SINGAPURA, 2 Oktober - Pemandu Ferrari, Charles Leclerc mengingatkan peminat agar tidak mengharapkan sebarang keajaiban pada Grand Prix Singapura hujung minggu ini, sambil menilai peluang pasukannya untuk memenangi perlumbaan musim ini sebagai amat tipis.

Ferrari yang musim lalu hampir menyaingi McLaren dalam kejuaraan pengeluar, kini ketinggalan 337 mata dengan hanya tujuh perlumbaan berbaki. Pasukan itu kini lebih realistik untuk bersaing dengan Mercedes dan Red Bull bagi kedudukan kedua.

Leclerc setakat ini meraih empat kali tempat ketiga dan sekali di kedudukan kedua, namun mengakui peluang untuk dirinya atau rakan sepasukan, Lewis Hamilton, naik ke tangga teratas podium sebelum musim berakhir adalah sangat kecil.

“Secara jujur, saya rasa ia sangat tidak mungkin kerana McLaren juga sangat kuat apabila keadaan panas. Jadi berbanding pesaing utama lain, mungkin kami ada sedikit kelebihan, tetapi bukan berbanding McLaren,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Beliau menambah, Las Vegas mungkin memberi sedikit ruang peluang kerana sifat unik litar tersebut, namun tetap melihat peluang itu sebagai sangat terhad.

Meskipun Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) mengklasifikasikan GP Singapura sebagai perlumbaan “heat hazard”, Leclerc tidak yakin faktor suhu tinggi akan membantu Ferrari menyaingi McLaren.

“Saya tidak fikir kami boleh harapkan sebarang keajaiban. Malah, saya rasa McLaren akan lebih dominan di litar seperti ini, jadi kami mungkin lebih jauh ketinggalan,” jelasnya.

Gagal mencatat kemenangan musim ini dianggap tamparan hebat buat pasukan ternama itu, dan Leclerc mengakui kekecewaan jelas dirasai seluruh pasukan.

“Kami semua kecewa sebagai sebuah pasukan. Bersama Ferrari, sasaran sentiasa untuk kembali di puncak, bukan sekadar berebut tempat kedua atau keempat. Kami tidak gembira, saya sendiri tidak gembira, dan kami perlu lakukan lebih baik. Itu jelas untuk semua anggota pasukan,” katanya.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE