ISKANDAR PUTERI, 2 Oktober - Johor Darul Ta'zim (JDT) mengesahkan tempat ke suku akhir Piala FA selepas menewaskan UM Damansara United 5-3 pada aksi kedua pusingan 16 terbaik di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.
Perlawanan turut menyaksikan penyerang kebangsaan, Romel Morales, mencuri tumpuan dengan hatrik.
JDT bermula garang apabila Morales menanduk masuk gol pembukaan seawal minit ketiga hasil hantaran Manuel Hidalgo, sebelum Hidalgo sendiri menggandakan jaringan pada minit kelapan. Heberty Fernandes menambah gol ketiga tuan rumah pada minit ke-15 untuk kedudukan 3-0 sehingga rehat.
Namun, kelalaian benteng dan penjaga gol Christian Abad memberi ruang kepada lawan bangkit. Thankgod Michael merapatkan jurang pada minit ke-62, diikuti jaringan Anuar Ceesay empat minit kemudian.
Morales kembali melegakan kem JDT dengan tandukan gol keempat pada minit ke-70, tetapi Ceesay sekali lagi mencetuskan debaran dengan rembatan padu pada minit ke-74.
Morales berpeluang menambah jaringan melalui sepakan penalti, namun percubaannya diselamatkan Haziq Fitri. Bagaimanapun, penyerang itu menebus kekecewaan dengan melengkapkan hatrik sebelum wisel penamat untuk keputusan muktamad 5-3.
Kemenangan itu menyaksikan JDT mara ke suku akhir dengan agregat 10-3.