fb fb fb fb fb

LTdL 2025 : Naluri jadi senjata Delbove ungguli peringkat kelima

Joris Delbove menjuarai peringkat kelima LTdL 2025

RAUB, 2 Oktober - “Saya ikut naluri, serang pada tiga kilometer terakhir dan berjaya kekal di depan hingga ke garisan penamat.”

Itu reaksi pelumba TotalEnergies, Joris Delbove selepas muncul juara peringkat kelima Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dari Temerloh ke Bukit Fraser sejauh 123.1 kilometer, hari ini.

Delbove menamatkan kayuhan dengan catatan masa 3 jam 25 saat, hasil serangan berani di puncak Fraser, sekali gus membolehkan beliau merampas jersi hijau daripada penyandang, Matteo Malucelli.

"Pada mulanya, saya biarkan pelumba pilihan seperti Yanis dan Johannessen melancarkan serangan. Tiga kilometer terakhir, saya nampak mereka mula saling memerhati dan tidak menekan kuat. Saya ambil peluang, serang ikut naluri, dan berjaya kekal di depan hingga ke garisan penamat," kata Delbove.

Sementara itu, Malucelli yang kehilangan jersi pendahulu tetap bertekad memberikan aksi terbaik, selain mengekalkan jersi oren selaku Raja Pecut.

"Tiga peringkat terakhir ini tugasnya pada rakan sepasukan. Kami tahu selepas Queen’s Stage, perlumbaan akan berubah. Esok kami akan cuba kawal sepenuhnya dan bermain strategi pecutan, bergantung pada situasi perlumbaan," jelas Malucelli.

Dalam pada itu, Nicolya Vinokurov dari XDS Astana pula merampas jersi putih selaku Pelumba Asia Terbaik selepas mengatasi wakil Terengganu Cycling Team (TSG), Vadim Pronskiy.

"Saya bangga dengan pasukan dan cara kami berlumba hari ini. Kami cuba buru kemenangan, tapi ada pelumba lebih kuat di depan. Beberapa hari akan datang, kami akan cuba sebaik mungkin untuk berada dalam kelompok lima teratas atau podium keseluruhan," katanya.

Perlumbaan LTdL 2025 akan bersambung esok dengan peringkat keenam dari Shah Alam ke Port Dickson sejauh 123.5 kilometer, melibatkan tiga zon pecut di Jenjarom, Banting dan Sungai Pelek.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE