KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Dua penyerang Real Madrid, Rodrygo dan Vinicius Jr kembali disenaraikan dalam skuad Brazil bagi aksi persahabatan menentang Korea Selatan dan Jepun bulan ini, manakala Neymar diketepikan akibat kecederaan paha.
Vinicius sebelum ini tidak dipanggil bagi aksi kelayakan Piala Dunia menentang Chile dan Bolivia, manakala Rodrygo kali terakhir beraksi bersama Brazil pada Mac lalu. Pertahanan Eder Militao turut tersenarai selepas pulih daripada kecederaan lutut jangka panjang.
Bagaimanapun, penjaga gol Alisson, pertahanan Marquinhos dan penyerang Raphinha tidak tersenarai kerana masalah kecederaan.
Brazil akan menentang Korea Selatan di Seoul pada 10 Oktober, sebelum bertemu Jepun di Tokyo, empat hari kemudian.
Ketua jurulatih, Carlo Ancelotti menegaskan senarai pemain kali ini bukan senarai muktamad bagi skuad yang akan beraksi di Piala Dunia tahun depan di Amerika Utara.
“Ramai daripada mereka akan ke Piala Dunia, tetapi senarai ini juga mengambil kira kecederaan yang menimpa beberapa pemain. Ia peluang untuk pemain lain menunjukkan kemampuan,” katanya.-REUTERS