fb fb fb fb fb

Sukan SEA 2025: Malaysia 'hilang' tiga pemain golf wanita terbaik

Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor / BERNAMA

SERDANG, 2 Oktober - Malaysia akan menghadapi Sukan SEA 2025 di Thailand tanpa tiga pemain golf wanita terbaik negara, kata Presiden Persatuan Golf Malaysia (MGA) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor.

Mohd Anwar berkata Jeneath Wong, Wang Xin Yao dan Fong Zi Yu yang kini melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat, tidak dapat pulang bagi menyertai temasya dwitahunan yang dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini.

Beliau berkata skuad lelaki akan menampilkan pemain amatur nombor satu negara Anson Yeo bersama Haris Hezri, Zubair Firdaus dan Justin Chan.

“Kami telah memuktamadkan senarai pemain yang akan mewakili Malaysia pada Sukan SEA. Bagi kategori wanita, malang sekali kerana tiga pemain utama tidak dapat pulang kerana komitmen pengajian mereka. Jadi, berdasarkan Ranking Golf Amatur Dunia dan mata merit MGA, kami memilih Charlyne Chong, Pang Hee Jie dan Nur Batrisya Balqis Abdul Ghani.

“Fokus kini adalah mempersiapkan mereka sehingga ke Sukan SEA dengan menajamkan kemahiran permainan pendek. Kami berharap dapat memberikan pendedahan seminggu khusus untuk permainan pendek, membawa jurulatih terbaik dalam aspek itu, kemudian mengumpulkan mereka dan mengasah kemahiran permainan pendek,” katanya kepada Bernama ketika ditemui hari ini.

Beliau ditemui pada sidang media Kejohanan Golf Wanita 2025 di Mines Resort & Golf Club di sini hari ini.

Mohd Anwar berkata walaupun kehilangan pemain utama menjadi satu kekangan, ia turut membuka ruang kepada bakat baharu untuk menyerlah, mengimbau bagaimana Ng Jing Xuen mencipta kejutan dengan meraih pingat emas pada Sukan SEA 2026 di Kemboja ketika pemain senior tidak dapat diturunkan.

“Kami berharap pemain muda sekali lagi akan bangkit menghadapi cabaran. Bagi kategori wanita, sasaran kami sekurang-kurangnya pingat gangsa, manakala Anson dijangka mampu memburu kedudukan podium dalam acara individu lelaki,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata MGA merancang untuk membawa masuk seorang jurulatih dari Thailand bagi kem latihan pusat menjelang temasya itu.

Kejohanan Golf Wanita 2025 yang dijadual berlangsung dari 12 hingga 15 Okt di sini, dianjurkan oleh The Mines Resort & Golf Club dengan kerjasama Persatuan Golf Profesional Malaysia (PGM).

Kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai RM100,000 itu akan menampilkan 60 pemain golf wanita terbaik negara, masing-masing 30 profesional dan 30 amatur, bermain dalam format 54 lubang.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE