fb fb fb fb fb

LTdL 2025 : Ren Bao muncul pelumba terbaik negara di Bukit Fraser

Pelumba muda negara, Tsen Ren Bao

RAUB, 2 Oktober - Pelumba muda negara, Tsen Ren Bao muncul pelumba terbaik Malaysia pada peringkat kelima Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 selepas menamatkan kayuhan dari Temerloh ke Bukit Fraser di kedudukan ke-44, hari ini.

Ren Bao yang mewakili pasukan St. George Continental Cycling mengakui kecewa kerana gagal berada dalam kelompok hadapan.

Katanya, jurang yang terbuka pada baki 10 hingga 15 kilometer terakhir menyukarkannya untuk mengejar semula peloton utama.

“Kalau saya paksa, saya akan habis awal. Jadi saya ikut rentak sendiri sampai ke penamat. Memang kecewa tak dapat habis bersama pelumba Asia lain, tapi saya sudah beri sepenuhnya tenaga hari ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Ren Bao berkata kedudukannya dalam kalangan pelumba Asia masih berada sekitar 10 terbaik, namun podium sukar dicapai.

“Saya cuba kekal dalam kelompok 30 pelumba teratas tanpa buang banyak tenaga, tapi bila jurang besar terbuka memang mustahil nak kejar. Apa pun, saya puas hati,” jelasnya.

Dia turut mengakui laluan di Bukit Fraser tidak begitu sesuai dengan gayanya.

“Keadaan berangin dan jalan yang sempit buatkan saya sukar kekalkan posisi depan, berbeza dengan Genting Highlands yang lebih curam dan lebar, lebih sesuai dengan gaya pendakian saya,” katanya.

Ren Bao kini memberi tumpuan kepada baki saingan, khususnya peringkat kelapan yang dijangka lebih mencabar dengan laluan berbukit di Bukit Hantu dan Bukit Ampang sebelum ke garisan penamat.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE