fb fb fb fb fb

LTdL 2025: Delbove ungguli peringkat kelima, rampas jersi hijau pendahulu keseluruhan

Pelumba Perancis, Joris Delbove dari pasukan TotalEnergies/Foto FB petronasletourdelangkawi

BUKIT FRASER, 2 Oktober – Pelumba Perancis, Joris Delbove dari pasukan TotalEnergies muncul juara peringkat kelima Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 selepas menamatkan kayuhan sejauh 123.1 kilometer dari Temerloh ke Bukit Fraser dengan catatan masa tiga jam 25 saat.

Delbove menewaskan pencabar terdekat, Anders Halland Johannessen dari Uno-X Mobility dan Yannis Voisard (Tudor Pro Cycling Team) yang masing-masing menamatkan perlumbaan dua saat di belakang.

Kejayaan itu sekali gus membolehkan Delbove merampas jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan dengan masa terkumpul 16 jam 16 minit 34 saat, mengatasi Johannessen di tangga kedua.

Dalam kategori lain, pelumba Itali, Matteo Malucelli (XDS Astana) terus mengekalkan jersi jingga Raja Pecut dengan 57 mata, manakala Patrick Eddy (Team Picnic PostNL) mengekalkan jersi polka dot Raja Bukit.

Bagi saingan Asia, pelumba Kazakhstan, Nicolya Vinokurov (XDS Astana) muncul pelumba terbaik dengan catatan masa 16:16:48 saat, manakala kategori ASEAN menyaksikan Thanakhan Chaiyasombat (Thailand Continental Cycling Team) dinobatkan terbaik peringkat kelima.

Selepas lima peringkat, persaingan LTdL edisi ke-29 semakin menarik dengan perubahan pendahulu keseluruhan serta cabaran lebih getir menanti pelumba di peringkat seterusnya.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN