fb fb fb fb fb

Skuad badminton negara cemerlang dalam beregu, perseorangan perlu bangkit

Datuk Foo Kok Keong/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Prestasi skuad badminton negara terus menunjukkan perkembangan positif, khususnya dalam acara beregu.

Bagaimanapun, pemain perseorangan negara masih perlu bekerja lebih keras bagi menggalas cabaran ke tahap lebih tinggi.

Bekas pemain badminton negara yang juga pemenang pingat emas Sukan SEA Manila 1991, Datuk Foo Kok Keong berkata pemain perseorangan perlu memiliki semangat kerja keras serta motivasi dalaman yang tinggi kerana kedua-dua elemen itu amat penting dalam membentuk seorang juara, selain latihan konsisten.

“Setakat ini, badminton Malaysia masih berada di tangga nombor satu. Saya rasa acara beregu semakin kukuh, terutamanya beregu lelaki, wanita dan campuran yang menunjukkan prestasi cemerlang. Namun, acara perseorangan agak kurang sedikit.

“Harapnya acara perseorangan dapat bangkit semula, bukan hanya bergantung pada beberapa pemain sahaja. Saya berharap mereka benar-benar mempunyai pengalaman serta kemahiran analisis kerana ia sangat penting, dan mereka mesti bekerja keras,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara ECO Shop dan Famemas Atlet Sukan SEA 2025 di sini, hari ini.

Mengulas mengenai temasya Sukan SEA yang bakal berlangsung Disember ini di Thailand, beliau berharap skuad badminton negara mampu mempertahankan reputasi serta membawa pulang pingat emas, khususnya dalam acara beregu.

Foo turut menasihatkan pemain agar sentiasa menganalisis corak permainan lawan bagi memperbaiki prestasi serta meningkatkan peluang meraih kejayaan dalam kejohanan antarabangsa.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN