TEMERLOH, 2 Oktober – Minat mendalam terhadap sukan berbasikal mendorong seorang bapa sanggup meredah perjalanan lebih setengah jam bersama anaknya berusia empat tahun semata-mata untuk menyaksikan perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) peringkat kelima di Temerloh, Pahang, hari ini.
Muhamad Sabri Che Yah, 36, dari Bera berkata peluang itu tidak dilepaskan kerana mahu melihat perlumbaan berprestij itu dengan lebih dekat.
Muhamad Sabri Che Yah/Foto RTM
“Ini peluang untuk datang ke bandar Temerloh bagi menyaksikan LTdL secara langsung. Sebelum ini tiada laluan masuk ke kawasan kami, jadi kali ini saya ambil kesempatan bawa anak-anak untuk lihat sendiri pelumba antarabangsa beraksi,” katanya.
Beliau turut berharap LTdL akan terus kembali ke Temerloh pada edisi akan datang sebagai acara yang dapat menyatukan masyarakat setempat.
Sementara itu, seorang lagi penonton, Sarah Zahuri berkata beliau teruja kerana dapat mengimbau kenangan ketika LTdL pernah bermula di bandar itu pada zaman persekolahannya.
Sarah Zahuri/Foto RTM
“Dahulu waktu saya sekolah, LTdL pernah diadakan di sini. Jadi sekarang saya mahu anak-anak turut merasai suasana meriah ini,” katanya.
Bagi Tajudin Mat Din dari Mentakab, beliau memilih untuk hadir di Temerloh meskipun laluan perlumbaan turut melalui kawasan tempat tinggalnya.
Tajudin Mat Din/Foto RTM
“Ramai kawan-kawan menunggu di Mentakab, tapi saya mahu berada di sini untuk meraikan pelumba sejak dari permulaan rasmi di Lembah Semantan ini,” ujarnya.
Bagi peringkat kelima hari ini, pelumba perlu menamatkan kayuhan sejauh 123.1 kilometer dari Temerloh ke Bukit Fraser yang melibatkan tiga zon pecutan dan dua zon pendakian utama.