fb fb fb fb fb

LTdL 2025: Aiman Rosli siap sedia hadapi pendakian mencabar Bukit Fraser

Foto FB petronasletourdelangkawi

TEMERLOH, 2 Oktober – Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli bertekad untuk terus menguasai kategori Pelumba Paling Menyerlah pada peringkat kelima Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 dari Temerloh ke Bukit Fraser, Pahang, hari ini.

Semalam (Rabu), Aiman cemerlang menjuarai kategori sama pada peringkat keempat dari Kuala Terengganu ke Kemaman.

0210 SKN LTDL AIMAN READY 2Muhammad Nur Aiman Rosli/RTM

“Persiapan hari ini Aiman memang sudah bersedia kerana sudah lama menunggu LTdL. Laluan bermula rata sebelum berakhir dengan pendakian di Bukit Fraser, jadi Aiman target untuk kekal kompetitif sekali lagi,” katanya ketika ditemui RTM sebelum pelepasan perlumbaan.

Majlis pelepasan peringkat kelima itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Menurut Aiman, beliau bersedia berdepan cabaran getir dengan saingan sengit daripada 114 pelumba lain, terutama di laluan sempit menuju puncak pendakian Bukit Fraser.

Bagi peringkat kelima hari ini, seramai 114 pelumba daripada 22 pasukan memulakan kayuhan sejauh 123.1 kilometer dari Temerloh ke Bukit Fraser. Laluan mencabar itu merangkumi tiga zon pecutan dan dua zon pendakian utama iaitu di Raub pada ketinggian 290 meter dan penamat di Bukit Fraser dengan ketinggian 1,247 meter.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN