KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Jurulatih Uruguay, Marcelo Bielsa memberi keutamaan kepada pemain baharu apabila memilih untuk tidak menurunkan beberapa bintang utama pasukan itu bagi aksi persahabatan menentang Republik Dominica di Stadium Nasional Bukit Jalil, esok.
Menurutnya, perlawanan di Malaysia menjadi medan penting untuk menilai potensi pemain muda yang berpeluang mengisi skuad utama menjelang Piala Dunia tahun depan.
“Kami tidak membawa pemain bintang kerana sudah menghampiri Piala Dunia dan kami sedang memilih pemain-pemain lain untuk dibawa ke sana,” katanya pada sidang media praperlawanan, hari ini.
Harapan peminat tempatan untuk menyaksikan aksi beberapa bintang utama Uruguay tidak kesampaian apabila lima tonggak utama skuad La Celeste tidak disenaraikan bagi dua aksi persahabatan antarabangsa di Malaysia kerana faktor kecederaan dan kesihatan.
Antara yang diketepikan ialah Jose Maria Gimenez (Atletico Madrid), Darwin Nunez (Al-Hilal), Federico Valverde (Real Madrid), Ronald Araujo (Barcelona) dan Manuel Ugarte (Manchester United).
Uruguay yang kini menghuni tangga ke-15 ranking bola sepak lelaki dunia dijangka tidak berdepan cabaran sukar menentang Republik Dominica yang berada di kedudukan ke-142 dunia.
Selepas aksi di Bukit Jalil, skuad kendalian Bielsa itu akan meneruskan satu lagi perlawanan persahabatan menentang Uzbekistan di Stadium Hang Jebat, Melaka, minggu ini.
