KUALA LUMPUR, 9 Oktober - Persiapan skuad tenis negara kini berada pada tahap terbaik menjelang Sukan SEA Thailand 2025, Disember depan dengan tumpuan utama memperbaiki pencapaian pingat berbanding edisi terdahulu.
Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2025, Datuk Kenny Goh Chee Keong berkata, semua atlet berada dalam semangat tinggi dan fokus terhadap sasaran yang ditetapkan.
“Penting untuk mereka membuat persiapan terbaik dan mengelak daripada sebarang kecederaan sebelum kejohanan bermula. Jadual latihan mereka agak padat dan aspek utama yang perlu diberi perhatian ialah kecergasan serta kecederaan supaya mereka dapat memberi yang terbaik di Sukan SEA Bangkok nanti, sekali gus menghadiahkan pingat buat negara,” katanya selepas melawat sesi latihan di Pusat Tenis Nasional, hari ini.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Tenis Kebangsaan, Muliadi Jamal optimis skuad bimbingannya mampu memperbaiki pencapaian dua pingat gangsa yang diraih pada edisi Phnom Penh 2023.
“Kita sasarkan keputusan lebih baik kali ini. Tiga atlet kita yang kini bermain di peringkat kolej di Amerika Syarikat dijangka pulang ke tanah air sebelum temasya bermula.
“Latihan pusat akan diadakan hujung November diikuti kem bina semangat anjuran MSN pada akhir Disember bagi menyuntik motivasi kepada atlet,” katanya.
Skuad tenis negara bakal dibarisi 10 atlet, lima lelaki dan lima wanita bagi temasya kali ini.
Antara yang mencuri tumpuan ialah atlet wanita, Syarifah Elsa Wan Rahman, yang bakal membuat penampilan pertama di pentas Sukan SEA.
“Saya amat gembira dan sedikit tertekan untuk melihat tahap permainan saya di kejohanan itu nanti. Tapi saya juga sangat berbangga dapat mewakili Malaysia buat pertama kali di Sukan SEA,” katanya.
Sementara itu, pemenang dua pingat gangsa di Phnom Penh, Mitsuki Leong, mengakui berada pada prestasi baik untuk memperbaiki pencapaiannya.
“Untuk tahun ini, permainan saya dalam acara beregu menunjukkan peningkatan, cuma dalam acara perseorangan sedikit goyah tetapi tidak membimbangkan. Saya harap dapat memperbaikinya sebelum kejohanan bermula,” ujarnya.
Pencapaian terbaik skuad tenis negara di Sukan SEA ialah pingat perak yang dimenangi Khoo Chin Bee, Tan Lynn Yin dan Liaw Chen Yee dalam acara berpasukan wanita pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2021.
