fb fb fb fb fb

KBS komited lahirkan lebih ramai bakat muda, perkasa program latihan

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim / Foto Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR, 9 Oktober- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama pelbagai pemegang taruh utama, terus komited melahirkan lebih ramai bakat baharu dalam sukan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim berkata sebanyak empat program latihan dilaksanakan setakat ini, bagi memberi tumpuan kepada pembangunan atlet muda berusia antara 13 hingga 21 tahun.

“Bagi melahirkan bakat baharu, KBS bekerjasama dengan pelbagai pemegang taruh seperti Persatuan Sukan Kebangsaan, Persatuan Sukan Negeri, Majlis Sukan Negeri dan Kementerian Pendidikan untuk melaksanakan empat program latihan khusus bagi atlet muda berumur 13 hingga 21 tahun.

Empat program tersebut merangkumi Program Bakat, Program Pelapis Negeri, Program Pembangunan Sukan Olimpik dan Program Khas," kata Adam Adli di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Padang Rengas, Azahari Hasan.

Tambah Adam Adli, sehingga kini, seramai 35,446 atlet sedang menjalani latihan di 931 pusat latihan di seluruh negara yang dikendalikan oleh 1,715 jurulatih.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM