fb fb fb fb fb

Cristiano Ronaldo, pemain bola sepak pertama berstatus bilionair

Cristiano Ronaldo/REUTERS

LISBON, 9 Oktober- Bintang bola sepak Portugal, Cristiano Ronaldo mencipta sejarah sebagai pemain bola sepak pertama di dunia mencapai status bilionair.

Menurut Bloomberg Billionaires Index, anggaran nilai kekayaan bersih Ronaldo kini mencecah AS$1.4 bilion.

Kejayaan kewangan luar biasa itu hadir selepas penyerang berusia 40 tahun tersebut menandatangani kontrak baharu bersama kelab Arab Saudi, Al-Nassr, pada Jun lalu dengan nilai dilaporkan melebihi AS$400 juta.

Bloomberg mendedahkan Ronaldo telah meraih lebih AS$550 juta dalam bentuk gaji sejak 2002 hingga 2023, disokong perjanjian penajaan jangka panjang dengan Nike bernilai hampir AS$18 juta setahun, serta pelbagai kontrak komersial termasuk bersama Armani dan Castrol yang menambah lebih AS$175 juta ke dalam kekayaannya.

Perpindahannya dari Manchester United ke Al-Nassr pada 2023 menjadikannya pemain bola sepak dengan bayaran tertinggi dalam sejarah, dengan gaji tahunan sebanyak £177 juta (AS$237.52 juta), selain bonus dan pegangan 15 peratus saham komersial dalam kelab Arab Saudi itu.

Sepanjang kariernya, Ronaldo bukan sahaja meraih kekayaan melalui bola sepak tetapi juga membina empayar jenama peribadi, CR7 yang merangkumi rangkaian fesyen, minyak wangi, hotel dan pelaburan dalam hartanah.

Sebagai perbandingan, seteru utamanya Lionel Messi telah meraih lebih AS$600 juta dalam bentuk gaji sebelum cukai sepanjang kariernya.

Status bilionair itu meletakkan Ronaldo sebaris dengan segelintir atlet elit dunia seperti lagenda bola keranjang Michael Jordan, Magic Johnson, LeBron James, pemain golf Tiger Woods, serta bintang tenis Roger Federer, menjadikannya antara ikon sukan paling berpengaruh dan berjaya dalam sejarah moden. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM