KUALA LUMPUR, 2 Jun- Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mendominasi saingan dengan menjuarai tujuh acara dalam Kejohanan Menembak 10 Meter antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dan Jemputan Kebangsaan 2024.
Menurut ketua jurulatihnya, Haslisa Hamed, kesemua atlet UPNM berjaya menampilkan prestasi cemerlang sepanjang kejohanan.
"Bagi atlet UPNM sendiri, ini adalah prestasi yang amat membanggakan kita di samping menang pingat, ada juga yang berjaya membuat rekod baharu kejohanan."
"Saya amat bersyukur untuk acara kali ini," kata Haslisa kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kejohanan edisi ke-8, di ibu negara.
Kejohanan melibatkan 18 pasukan terdiri daripada 11 pasukan institut pengajian tinggi (IPT) dan tujuh pasukan dari Majlis Sukan Negeri dengan jumlah keseluruhan 150 peserta.
Dalam pada itu, atlet menembak UPNM, Muhammad Azman Mohd Ridzuan menyifatkan kejohanan berkenaan mampu menjadi medan terbaik bagi melakukan persiapan akhir sebelum menghadapi SUKMA Sarawak Ogos ini.
Beliau yang juga merupakan atlet menembak Negeri Sembilan, memburu tiga pingat emas pada temasya itu.
Banyak lagi yang perlu saya perbaiki antaranya dalam segi asas menembak, kedudukan dan macam-macam lagi termasuk senjata."
"Saya akan perbaiki dan dalam masa dua bulan ini saya akan cuba yang terbaik," kata Azman kepada pemberita hari ini.
Pada kejohanan petang tadi, beliau berjaya merangkul tiga pingat termasuk emas kategori Air Rifle individu lelaki IPT.