KUALA LUMPUR, 2 Jun- Terengganu FC (TFC) menerima suntikan semangat selepas penyerang import utama, Ivan Mamut dilapor kembali bersama pasukan bagi saingan Liga Super.
Penyerang berusia 27 tahun itu terpaksa berehat selama dua bulan dan terlepas tiga perlawanan Liga Super akibat kecederaan.
Kepulangan bintang kelahiran Croatia itu pastinya menggembirakan peminat skuad Penyu yang rindu dengan aksi dan ketajaman penyudahnya.
Pengarah Sukan TFC, Zul Fadli Rozi berkata Mamut telah selesai menjalani rawatan bersama pakar di Croatia dan akan kembali ke Terengganu, esok.
Jelasnya, skuad itu amat memerlukan kepakaran Mamut bagi memperkuat jentera serangan dalam mengharungi perlawanan Liga Super dan Piala FA yang dijadualkan bermula 14 Jun ini.
TFC tampil cemerlang dalam tiga perlawanan awal musim ini, menang ke atas Perak FC dan Kelantan Darul Naim FC, selain seri berdepan Penang FC.