HANGZHOU, 22 Oktober -- Temasya sukan Para Asia edisi ke-4 di Hangzhou, China membuka tirai secara rasminya malam ini.
Seramai 3,000 atlet dari lebih 40 kontinjen akan bersaing merebut 566 pingat emas yang dipertandingkan.
Upacara pembukaan berlangsung di Stadium Sukan Olimpik Hangzhou yang juga dikenali sebagai Big Lotus.
Acara berlangsung meriah dihiasi pancaran cahaya berwarna-warni dan pelbagai persembahan yang memukau.
Kontinjen Malaysia yang mengenakan busana berwarna hitam dan kelabu diletakkan dalam giliran ke-21 bagi perarakan masuk.
Seramai 113 atlet negara akan membawa cabaran dengan sasaran untuk membawa pulang 35 pingat keseluruhan.
Malaysia menyertai 14 daripada 22 sukan yang dipertandingkan di bumi Hangzhou.
Antara acara sukan yang disertai kontinjen negara kali ini membabitkan memanah, olahraga, badminton, berbasikal, powerlifting, boccia, bola sepak orang buta dan boling padang.
Pada edisi 2018 di Jakarta-Palembang, Indonesia, kontinjen negara cemerlang meraih 17 pingat emas, 26 perak dan 25 gangsa.