IPOH, 28 Oktober - Sejumlah RM34,500 disalurkan kerajaan negeri Perak kepada 15 penggiat sukan di negeri itu menerusi program bantuan kebajikan bersasar.
Sumbangan berkenaan bertujuan menghargai jasa mereka yang telah mengharumkan nama negeri dalam pelbagai kejohanan sukan yang disertai.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, program tersebut memberi tumpuan kepada semua penggiat sukan di bawah naungan Majlis Sukan Negeri Perak, termasuk atlet, bekas atlet, jurulatih, pegawai, serta individu yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan negeri tersebut.
“Nilai itu berbeza... kita akan ikut tahap kecederaan atau kesihatan, dan berdasarkan keadaan diri masing-masing. Contohnya, bantuan kecemasan banjir mungkin tidak sama dengan mereka yang mengalami kecederaan atau masalah kesihatan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Kebajikan Bekas Atlet dan Penggiat Sukan Negeri Perak di sini.
Khairudin berkata selain bantuan sekali bayar, program itu turut menyediakan sokongan moral dan jaringan kebajikan bagi membantu penerima meneruskan kehidupan.