PETALING JAYA, 28 Oktober - Skuad luncur ais negara menyasarkan sekurang-kurangnya tiga pingat emas pada Sukan SEA 2025 di Thailand yang dijadual berlangsung Disember depan.
Presiden Persatuan Sukan Ais Malaysia (ISAM), Datuk Fadzli Johan, berkata keyakinan itu bersandarkan prestasi semasa atlet negara yang kini menjalani latihan intensif di luar negara sebagai persediaan menghadapi temasya dwitahunan tersebut.
“Di edisi Filipina sebelum ini, kita membawa pulang dua pingat emas. Kali ini, kita sasarkan sekurang-kurangnya dua hingga tiga emas. Apa yang penting, semangat mereka tidak pernah luntur,” katanya.
Menurut beliau, skuad negara kini berada pada fasa akhir persiapan dengan sebahagian atlet berlatih di Amerika Syarikat, Korea Selatan, Kuwait dan Indonesia.
Pasukan tersebut dijangka berangkat ke Bangkok seminggu lebih awal bagi menyesuaikan diri dengan keadaan gelanggang dan persekitaran.
“Atlet kita berada di bawah bimbingan jurulatih antarabangsa yang berpengalaman. Mereka semakin matang hasil pendedahan di kejohanan luar dan kini bersedia memberi cabaran sengit kepada lawan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Fadzli turut memaklumkan bahawa terdapat beberapa perubahan kecil dalam format dan peraturan pertandingan pada saat-saat akhir oleh tuan rumah,Thailand.
Namun menegaskan perkara itu tidak akan menjejaskan fokus serta semangat juang skuad negara.
"Walaupun berlaku beberapa perubahan dalam teknikal handbook, kita tetap positif dan teruskan persiapan seperti biasa.
"Atlet kita bersemangat untuk mengembalikan pingat emas kepada negara. Pelaburan serta pendedahan mereka di kejohanan luar menjadikan mereka lebih matang dan bersedia berada di kedudukan terbaik di peringkat Asia Tenggara", katanya yang ditemui RTM selepas majlis menandatangani Memorandum persefahaman antara Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM) dan TRIN International School di sini.
Beliau turut memaklumkan bahawa senarai akhir atlet ke Sukan SEA akan diumumkan pada minggu pertama November selepas mendapat kelulusan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Jawatankuasa Olimpik Malaysia (OCM).
Malaysia akan mempertaruhkan dua disiplin utama iaitu figure skating dan short track speed skating yang menawarkan 10 pingat keseluruhan.