fb fb fb fb fb

Kerjasama strategik KOPISAMB–TRIN perkasa pendidikan dan latihan atlet negara

FOTO RTM

PETALING JAYA, 28 Oktober - Koperasi Industri Sukan Atlet Malaysia Berhad (KOPISAMB) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan TRIN International School, sebuah institusi pendidikan berasaskan silibus Cambridge, bagi memperkukuh usaha melahirkan generasi atlet pintar dan berprestasi tinggi di negara ini.

Kerjasama strategik itu menjadi platform penting dalam melahirkan atlet sepenuh masa yang seimbang antara prestasi sukan dan pencapaian akademik.

Pengerusi KOPISAMB, Datuk Fadzli Johan, berkata inisiatif tersebut memberi peluang kepada atlet menjalani latihan sepenuh masa sambil mengikuti pembelajaran akademik di bawah sistem IGCSE dan A-Level yang diiktiraf antarabangsa.

“Kerjasama ini memberi peluang kepada atlet kita untuk mendapatkan pendidikan yang lebih berkesan dan lestari walaupun menjalani latihan sepenuh masa. TRIN akan membuka satellite school di gelanggang luncur ais ini, pagi mereka berlatih, selepas itu terus masuk kelas,” katanya ketika ditemui selepas majlis menandatangani MoU tersebut.

Jelas beliau, perkara itu sejajar dengan dengan pelan lima tahun Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM) yang menyasarkan pingat emas Olimpik pertama negara menjelang 2030 di Kanada.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Luncur Ais Malaysia (ISAM), berkata KOPISAMB turut menyediakan pembiayaan dan biasiswa kepada atlet berpotensi tinggi merangkumi pelbagai disiplin sukan dan tidak hanya untuk sukan luncur ais.

“Kita mengambil pendekatan terbuka. Mana-mana atlet yang menunjukkan kemampuan memberi impak kepada sukan negara boleh memohon.

“Kalau atlet mempunyai pendidikan yang baik, cara berfikir mereka juga lebih baik. Kita mahu lahirkan atlet yang bukan sahaja hebat bersukan, tapi juga bijak dan berdisiplin,” katanya.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD