fb fb fb fb fb

Piala Mirnawan 2025: Hanya lapan pasukan bertanding

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM),Datuk Seri Subahan Kamal /RTM

KUALA LUMPUR, 28 Oktober - Penganjuran Kejohanan Hoki Piala Mirnawan 2025 bakal menyaksikan penyertaan terhad tahun ini apabila hanya lapan pasukan akan beraksi berbanding 10 pasukan pada edisi lalu, susulan kekangan kewangan yang dihadapi penganjur.

Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM),Datuk Seri Subahan Kamal berkata minat yang mendalam ditunjukkan pelbagai negara menyebabkan KHM perlu memilih pasukan benar-benar berkualiti bagi bersaing dalam kejohanan berkenaan.

“Banyak negara luar berminat menyertai kejohanan ini, namun kita perlu mengambil kira kemampuan kewangan semasa.

"Justeru, kami memilih pasukan yang diyakini mampu memberikan saingan berkualiti kepada pemain muda negara,” katanya pada sidang media, hari ini.

Meskipun jumlah pasukan bertanding berkurangan, Subahan menegaskan penganjuran edisi kali ini tetap menjanjikan saingan sengit dan berimpak tinggi terhadap pembangunan pemain pelapis negara.

“Tiada gunanya menganjurkan kejohanan sekadar untuk memenuhi jadual. Matlamat utama penganjuran ini adalah memberi pendedahan dan impak besar terhadap pembangunan pemain remaja negara,” katanya.

Bagi kategori lelaki bawah 18 tahun, kejohanan tersebut bakal disertai pasukan Malaysia Speedy, Malaysia Tiger, Jepun, Afrika Selatan serta dua wakil Australia iaitu Queensland dan Croc One Active.

Sementara itu, kategori wanita bawah 18 tahun akan menampilkan pasukan Malaysia Tigress, Jepun, Afrika Selatan, Queensland dan Croc One Active.

Piala Mirnawan merupakan kejohanan hoki jemputan antarabangsa anjuran Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) di bawah seliaan Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama KHM.

Kejohanan selama lapan hari itu menggunakan format liga sepusingan (round-robin), dengan dua pasukan teratas akan mara ke perlawanan akhir.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD