fb fb fb fb fb

KPT fokus lahirkan atlet berprestasi tinggi menerusi IPT

Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan KPT, Dr. Hanafiah Ayub/RTM

PUTRAJAYA, 28 Oktober - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus atlet negara dilahirkan menerusi pelaksanaan program sukan tumpuan di bawah kementerian itu.

Timbalan Setiausaha Bahagian Seksyen Sukan KPT, Dr. Hanafiah Ayub, berkata usaha tersebut penting bagi memastikan institusi pengajian tinggi (IPT) menjadi antara penyumbang utama kepada pembangunan atlet berprestasi tinggi negara.

Menurutnya, penganjuran kejohanan seperti Grand Final Varsity Sepaktakraw League (VSL) 2025, yang membuka tirai esok di Dewan Kompleks Kejiranan Presint 11, Putrajaya, menjadi antara platform utama melahirkan bakat muda berpotensi tinggi.

"“Harapan kita adalah untuk mencapai tahap sekurang-kurangnya 30 peratus atlet negara datang daripada program sukan tumpuan ini.

"Setiap universiti perlu bergerak ke arah sasaran itu, dibantu oleh agensi-agensi lain bagi memastikan program ini benar-benar melahirkan atlet berkualiti dan berdaya saing,” katanya demikian selepas merasmikan Kejohanan Varsity Sepaktakraw League (VSL) 2025 serta majlis pengenalan barisan pemain Malaysian University bagi kejohanan Piala Tun Ali 2025, di sini.

Kejohanan edisi kali ini bakal menyaksikan 16 pasukan bersaing bagi merebut gelaran juara dalam kategori regu, manakala 16 pasukan lagi akan berentap dalam kategori beregu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD