fb fb fb fb fb

Piala Tun Ali 2025: Malaysian University sedia cipta kejutan

FOTO RTM

PUTRAJAYA, 28 Oktober  - Skuad sepak takraw Malaysian University bertekad memberikan saingan sengit pada Kejohanan Piala Tun Ali 2025 yang dijadual berlangsung bulan depan di Melaka.

Ketua jurulatihnya, Mohd Hafizie Manap, berkata kejohanan kali ini dijangka lebih mencabar dengan penyertaan pasukan-pasukan berpengalaman yang dibarisi pemain Liga Sepaktakraw (STL) serta pemain kebangsaan.

“Cabaran untuk Piala Tun Ali kali ini agak sengit kerana kebanyakan pasukan menurunkan pemain yang beraksi di STL dan juga pemain kebangsaan. Kami dianggap sebagai pasukan underdog, tetapi saya tekankan kepada pemain supaya tetap memberikan saingan yang terbaik dalam setiap perlawanan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengenalan Pasukan Malaysian University di  sini, hari ini.

Menurutnya, kesemua pemain yang disenaraikan merupakan gabungan bakat muda terbaik dari institusi pengajian tinggi seluruh negara, hasil pemilihan menerusi Varsity Sepaktakraw League (VSL) yang menjadi platform utama pembangunan sukan itu di peringkat universiti.

Tambah beliau, pemilihan dilakukan berdasarkan prestasi semasa, disiplin, dan keupayaan taktikal, dengan sebahagian besar pemain turut mempunyai pengalaman beraksi bersama pasukan negeri dalam saingan STL.

Mohd Hafizie berkata, sasaran awal pasukannya ialah melepasi peringkat kumpulan sebelum memberi tumpuan untuk mara ke suku akhir dan seterusnya ke pentas akhir.

Beliau percaya semangat juang tinggi serta pengalaman beraksi di peringkat universiti mampu menjadi kelebihan buat skuad kendaliannya bagi mencipta kejutan di Melaka nanti.

Kejohanan Piala Tun Ali 2025 dijangka menghimpunkan pasukan terbaik dari seluruh negara termasuk barisan pemain elit yang pernah mewakili Malaysia di pentas antarabangsa.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD