GLASGOW, 28 Oktober - Brendan Rodgers meletakkan jawatan sebagai ketua jurulatih Celtic, selepas permulaan musim yang mengecewakan, kata pengurusan kelab berkenaan dalam kenyataan.
“Brendan Rodgers hari ini telah menyerahkan surat peletakan jawatannya. Pihak kelab telah menerimanya dan beliau akan meninggalkan tugasnya serta-merta,”maklum kelab berkenaan.
Kekosongan yang ditinggalkan Rodgers diisi secara sementara oleh Martin O’Neill, bersama bekas pemain Celtic Shaun Maloney.
O’Neill sebelum ini pernah membawa Celtic memenangi kejuaraan treble pada 2001, selain memenangi tiga kejuaraan Liga Perdana Scotland, tiga Piala Scotland, dan mara ke pentas akhir Piala UEFA 2003.
Pengunduran Rodgers berlaku ketika tekanan kian memuncak susulan kekalahan mengejut kepada Kairat Almaty dari Kazakhstan dalam aksi kelayakan Liga Juara-Juara pada Ogos.
Terbaharu, kekalahan 3-1 kepada Hearts pada Ahad yang menyebabkan Celtic ketinggalan dalam saingan kejuaraan.
Ia merupakan kekalahan liga kedua berturut-turut bagi juara bertahan itu, yang kini berada di tangga kedua dengan 17 mata, lapan mata di belakang pendahulu Hearts.
Pemegang saham individu terbesar Celtic, Dermot Desmond, mengeluarkan kenyataan keras menuduh Rodgers melemahkan imej kelab secara terbuka meskipun ditawarkan lanjutan kontrak serta sokongan penuh hanya beberapa bulan lalu.
Desmond menjelaskan Celtic menaruh kepercayaan penuh terhadap kemampuannya membawa kejayaan buat kelab berkenaan ketika kembali ke kelab pada 2023.
Jelas Desmond, malangnya sikap dan komunikasi pengurus berkenaan dalam beberapa bulan kebelakangan ini tidak mencerminkan kepercayaan tersebut.
Tambah Desmond, Rodgers diberikan kuasa penuh serta sokongan kewangan besar bagi mendapatkan pemain pilihannya, tetapi tindakannya sejak itu bersifat memecah-belah dan mementingkan diri sendiri.
“Tindakan beliau mencetuskan suasana toksik di kelab dan menimbulkan permusuhan terhadap barisan pengurusan serta lembaga pengarah,” katanya lagi.
Desmond menegaskan bahawa struktur kelab yang sedia ada iaitu pengurus mengendalikan urusan bola sepak, ketua eksekutif mengurus operasi dan lembaga pengarah menjalankan pengawasan telah terbukti berjaya selama lebih dua dekad.
Rodgers kembali ke Celtic Park pada 2023 bagi tempoh keduanya, selepas sebelum ini membantu pasukan itu meraih dua gelaran liga berturut-turut.
Ketika tempoh pertamanya pada 2017 dan 2018, beliau turut membawa Celtic menjuarai treble domestik. - REUTERS