PARIS, 29 Oktober - Paris St Germain (PSG) merekodkan hasil pendapatan sebanyak 837 juta Euro bagi musim 2024-2025.
Perkara itu diumumkan penyandang Liga Juara Eropah itu menerusi laporan kewangan kelab pada Selasa (28 Oktober).
PSG yang berada di tempat ketiga dalam laporan Deloitte Football Money League pada Januari lalu, menjana pendapatan lebih baik berbanding musim sebelumnya iaitu 806 juta Euro.
Kelab Ligue 1 itu menjana 367 juta Euro hasil komersial dan 175 juta euro daripada pendapatan hari perlawanan, dengan tiket perlawanan di stadium Parc des Princes habis dijual untuk 170 perlawanan berturut-turut.
Musim 2024-2025 melakar sejarah bagi PSG apabila menjulang piala Liga Juara Eropah yang pertama, selain dinobatkan sebagai juara Ligue 1.
PSG turut merangkul Piala Perancis dan Piala Liga Perancis namun gagal meraih Piala Dunia Kelab 2025 apabila tewas 0-3 kepada Chelsea dalam perlawanan akhir.
Kelab itu diambil alih Qatar Sports Investments pada tahun 2011.
Hasil pendapatan daripada kempen Piala Dunia Kelab sehingga suku akhir dimasukkan dalam laporan kewangan musim ini, manakala hasil pendapatan di peringkat akhir akan dimasukkan dalam laporan tahun depan.
Walaupun mencatat rekod pendapatan lebih baik, PSG mencatatkan kerugian tahunan walaupun kelab itu tidak mendedahkan defisit tersebut. Musim lalu, PSG melaporkan kerugian kira-kira 60 juta Euro. -REUTERS