fb fb fb fb fb

Piala FA: JDT bertemu Kuching City di separuh akhir

Penyerang JDT, Bergson Da Silva (dua dari kanan) melakukan sepakan gol ketika menentang Penang FC pada aksi kedua suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim / Foto BERNAMA

ISKANDAR PUTERI, 29 Oktober - Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) menang bergaya dengan agregat 5-1, selepas menewaskan Penang FC, 3-0 dalam aksi kedua suku akhir Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Sekaligus, melayakkan skuad Harimau Selatan mara ke pusingan separuh akhir.

Babak pertama menyajikan aksi sengit antara kedua-dua pasukan dalam usaha memburu mata, sebelum penyerang import JDT, Bergson Da Silva, membuka tirai jaringan pada minit ke-38.

Selang dua minit kemudian, pemain pertahanan JDT, Jonathan Silva, yang pada mulanya dinafikan jaringan selepas didakwa berada dalam kedudukan ofsaid, namun semakan video bantuan pengadil (VAR) mengesahkan gol itu, sekaligus meletakkan JDT selesa di depan 2-0.

Pada penghujung minit pertama, tuan rumah tidak menunggu lama untuk meledak gol, apabila pertahanan mereka, Eddy Israfilov, menanduk masuk bola hasil hantaran Arif Aiman menerusi sepakan sudut.

Bersambung babak kedua, Harimau Selatan sekali lagi hampir menambah jaringan apabila Arif Aiman menjaringkan gol minit ke-58, namun, VAR membatalkannya selepas kedudukan ofsaid.

Kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat.

Sementara itu, ketua jurulatih JDT, Xisco Munoz gembira dan berpuas hati dengan permainan yang ditunjukkan anak buahnya, walaupun terdapat kesukaran untuk menjaringkan gol pada awal permainan.

"Salah satu perkara yang telah kami bincangkan sebelum itu ialah apabila anda keletihan, pada separuh masa terakhir, kadangkala ia lebih sukar untuk dimulakan. Maksud saya, apa yang saya bincangkan dengan mereka pada separuh masa pertama, kami perlu lebih tenang mengenainya," kata beliau.

"Kami perlu membuat keputusan yang lebih baik pada separuh masa terakhir, tetapi kadangkala ia berlaku. Maksud saya, salah satu perkara yang penting bagi kami ialah cuba memulakan perlawanan dengan lebih pantas," tambahnya.

Munoz berkata, pasukannya akan memperbaiki corak permainan untuk perlawanan akan datang menentang Kuching City FC kerana mereka lebih kuat dalam pertahanan.

Dalam pada itu, meskipun sedikit kecewa kerana tewas, ketua jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail berkata, ia lumrah dalam permainan.

Beliau memuji persembahan anak buahnya yang berjaya bertahan pada separuh masa pertama dan babak kedua, walaupun terdapat beberapa pemain yang menghadapi masalah kesihatan.

"Sehingga minit ke 30 lebih kurang, bila sedikit fokus hilang dan bila kena gol yang sebegitu dan untuk come back (bangkit semula) dalam masa singkat agak sukar dan kita dihukum dengan tiga gol dalam masa lebih kurang tapi alhamdulillah masuk second half (separuh kedua) pemain kekal fokus," katanya.

JDT akan bertemu Kuching City FC dalam aksi separuh akhir Piala FA di Stadium Negeri Petra Jaya, Sarawak yang dijadualkan pada awal November.

Terdahulu, Kuching City FC mencipta sejarah tersendiri apabila mara ke separuh akhir buat julung kalinya selepas menyingkirkan Terengganu FC dengan agregat 5-3.

EMMI NORALIZA ADNAN