fb fb fb fb fb

Messi masih bernafsu buru gemilang di Piala Dunia

Lionel Messi / REUTERS

BUENOS AIRES, 28 Oktober - Lionel Messi masih berhasrat untuk beraksi pada Piala Dunia 2026 di Amerika Utara, namun mengakui keputusan akhir bergantung kepada tahap kecergasan dan kemampuannya membantu Argentina mempertahankan gelaran juara dunia.

Kapten Argentina itu baru-baru ini melanjutkan kontraknya bersama Inter Miami sehingga 2028, menunjukkan beliau belum merancang untuk bersara walaupun bakal mencecah usia 39 tahun Jun depan.

Bercakap kepada NBC News, pemenang Ballon d’Or lapan kali itu berkata dia akan menilai keadaan fizikalnya tahun depan sebelum membuat keputusan mengenai penyertaan di kejohanan yang berlangsung di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

“Piala Dunia adalah sesuatu yang luar biasa. Saya mahu berada di sana dan menjadi sebahagian penting membantu pasukan, jika mampu. Saya akan nilai dari hari ke hari apabila pra-musim bermula tahun depan,” katanya.

Messi, yang melakukan penampilan profesional pertama pada 2004 bersama Barcelona, telah meraih hampir semua kejuaraan bersama kelab dan negara termasuk Piala Dunia 2022 di Qatar dan Copa America 2021, setelah lama mengejar kejayaan di pentas antarabangsa.

Setakat ini, Messi telah membuat 195 penampilan bersama skuad Argentina dengan rekod 114 gol. Jika terpilih ke Piala Dunia 2026, ia bakal menjadi penampilan keenamnya dalam kejohanan berprestij itu.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE