MELBOURNE, 28 Oktober - Pemain bola tampar pantai Belanda, Steven van de Velde, yang pernah disabitkan kesalahan rogol, tidak diberikan visa oleh Australia untuk beraksi pada Kejohanan Dunia di Adelaide bulan depan, menurut Persatuan Bola Tampar Belanda (Nevobo).
Van de Velde, seorang Olimpian, sebelum ini dijatuhi hukuman penjara empat tahun di Britain pada 2016 selepas didapati bersalah merogol seorang kanak-kanak berusia 12 tahun ketika beliau berumur 19 tahun.
Nevobo memaklumkan bahawa Van de Velde serta rakan gandingannya, Alexander Brouwer, tidak akan menyertai kejohanan yang dijadual bermula 14 November itu selepas permohonan visa ditolak pihak berkuasa Australia.
“Kami dimaklumkan bahawa keputusan tidak meluluskan visa telah dibuat. Kami kesal tetapi tiada pilihan selain akur,” kata Pengarah Teknikal, Heleen Crielaard dalam satu kenyataan.
Van de Velde, pemenang dua pingat gangsa Kejohanan Eropah, berkata dia dan pasukan sudah menjangka latar belakang kesnya berpotensi menimbulkan masalah dalam permohonan visa.
Sementara itu, Brouwer menerusi media sosial memaklumkan musimnya tamat selepas menerima berita visa ditolak, sambil menyatakan rasa kecewa kerana tidak dapat beraksi di Kejohanan Dunia ketujuhnya bersama Van de Velde.-REUTERS