fb fb fb fb fb

TRW buru kemenangan dua gol di Likas

Penolong jurulatih TRW Akmal Rizal Rakhli / BERNAMA

KOTA BHARU, 28 Oktober - Cabaran getir menanti Kelantan The Real Warrior (TRW) yang bukan sahaja perlu menang, malah wajib menjaringkan dua gol tanpa bolos pada aksi suku akhir kedua Piala FA menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam esok.

Penolong jurulatih TRW Akmal Rizal Rakhli, berkata skuad bimbingannya berlepas ke Kota Kinabalu dengan misi jelas membawa pulang kemenangan 2-0 bagi mengesahkan slot ke separuh akhir saingan musim ini.

“Kami sedar bukan mudah menentang Sabah FC, apatah lagi bermain di tempat lawan yang mempunyai ramai pemain berpengalaman termasuk tonggak kebangsaan dan import berkualiti.

“Malam esok kami tiada pilihan selain mencatat kemenangan 2-0 bagi memastikan laluan ke separuh akhir selepas tewas 1-2 di gelanggang sendiri minggu lalu,” katanya kepada Bernama hari ini.

Berdasarkan keputusan semasa, kelebihan nyata memihak kepada Sabah FC, namun TRW masih berpeluang sekiranya berjaya menundukkan tuan rumah dengan kemenangan bersih dua gol tanpa balas.

Akmal berkata sekiranya skuadnya tidak mampu menamatkan 90 minit dengan keputusan 2-0, kemenangan 1-0 sudah cukup untuk mengheret perlawanan ke penentuan sepakan penalti.

“Jaringan di Likas amat penting. Jika tidak mampu menang 2-0, kemenangan 1-0 masih membuka ruang ke sepakan penalti. Pemain perlu beri tumpuan penuh dan elak kesilapan yang boleh mengundang padah,” katanya.

Walaupun menyedari kekuatan skuad Sang Badak, Akmal tetap optimis anak buahnya mampu mencipta sesuatu di gelanggang lawan.

“Saya yakin jika pemain dapat mengekalkan aksi seperti ketika menentang Sabah FC di Kota Bharu minggu lalu, kami mampu menang malam esok. Cuma perlu perbaiki bahagian serangan supaya peluang yang ada dapat diterjemah kepada jaringan,” katanya.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE