KUALA LUMPUR, 19 November – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedang meneliti keputusan yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) berhubung rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai penalti susulan isu pemalsuan dokumen melibatkan tujuh pemain naturalisasi.
Menterinya, Hannah Yeoh berkata segala penjelasan berkaitan perkara tersebut akan dibentangkan secara rasmi ketika sesi penggulungan di Parlimen esok.
“Sesi itu turut melibatkan perbahasan Belanjawan 2026 bagi Kementerian Belia dan Sukan oleh ahli-ahli Parlimen. Justeru, saya memilih untuk tidak mengulas lanjut melalui sidang media.
“Saya mohon pihak media mengikuti sesi penggulungan esok untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis pengumuman penajaan rasmi Team Malaysia bagi Sukan SEA ke-33 Thailand, di ibu negara.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan pihaknya telah menghubungi Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mendapatkan perkembangan berkaitan aspek yang melibatkan elemen jenayah dalam isu berkenaan.
Bagaimanapun, jelasnya, KBS masih menunggu maklum balas memandangkan perkara itu baru dirujuk, dan beliau yakin KDN akan memberikan penjelasan sewajarnya setelah penelitian dibuat.