SEREMBAN, 19 November – Penganjuran Pesta Bola Ngoca kembali menyerikan Negeri Sembilan tahun ini dengan menawarkan pengalaman unik, sarat elemen tradisi serta kemeriahan yang sukar didapati di tempat lain.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata edisi kali ini menyediakan pelbagai hadiah menarik dan ganjaran lumayan kepada para pemenang, termasuk kategori tradisi dan pertandingan bola ngoca yang menjadi lambang warisan sukan rakyat.
Menurut beliau, selain pertandingan utama, pesta berkenaan turut menampilkan pelbagai aktiviti kekeluargaan dan komuniti yang bertujuan memperkukuh hubungan masyarakat serta memelihara budaya tradisional yang diwarisi turun-temurun.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun/Foto arkib/BERNAMA
“Saya berharap acara ini menjadi salah satu ‘trademark’ Negeri Sembilan dalam bidang sukan tradisional. Kita telah mempelopori penganjuran ini sejak era COVID dan mahu ia terus menjadi acara tahunan, dengan kehadiran lebih ramai pelancong pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) di Wisma Negeri Sembilan, di sini.
Pesta Bola Ngoca 2025 bakal berlangsung pada 29 dan 30 November ini di Stadium Bola Ngoca, Perkampungan Budaya Terachi.