fb fb fb fb fb

Deaflympics 2025: Azlan Kuste terkandas di pusingan akhir 1,500 meter

Pelari jarak sederhana negara, Azlan Kuste (kiri)/RTM

TOKYO, 19 November – Harapan pelari jarak sederhana negara, Azlan Kuste untuk mengulangi rentak cemerlang ketika pusingan pertama tidak kesampaian selepas menamatkan pusingan akhir 1,500 meter di kedudukan ke-10 dengan catatan 4 minit 17.74 saat di Stadium Olahraga Taman Olimpik Komazawa.

Saingan akhir menyaksikan penguasaan atlet Kenya apabila James Musembi Mwanza muncul juara dengan masa 3:49.61 saat, diikuti rakan senegara, Elikana Kiprop Rono, yang meraih perak dengan 3:50.22 saat.

Pingat gangsa menjadi milik atlet neutral, Aliaksandr Charniak, yang mencatat 3:56.77 saat.

Atlet kelahiran Sabah itu berkata prestasinya terjejas selepas mengalami masalah kesihatan.

1911 SKN AZLAN KUSTE TERKANDAS 2Atlet kelahiran Sabah itu berkata prestasinya terjejas selepas mengalami masalah kesihatan/RTM

“Saya minta maaf kerana hari ini kurang sihat. Semalam (Selasa) saya mula selsema dan hari ini badan rasa lain, jadi saya tidak dapat buat yang terbaik untuk Malaysia. Insya-Allah untuk tahun depan dan acara-acara akan datang, saya akan cuba berikan masa terbaik. Jumaat ini ada acara 800 meter, saya harap dapat sihat dan layakkan diri ke final,” katanya.

Pada Selasa, Azlan mencuri perhatian apabila mara ke peringkat akhir dalam penampilan sulung di Deaflympics 2025 selepas menamatkan saringan di tempat keenam dengan masa 4:14.69 saat, sekali gus memadam rekod peribadi lamanya, 4:16 saat.

Mengulas rentak perlumbaan akhir, Azlan mengakui tempo yang lebih laju menyukarkan dirinya mengulangi prestasi di pusingan awal.

Beliau kini memberi tumpuan penuh kepada acara 800 meter dengan saringan kedua dijadual berlangsung pada Jumaat ini, sambil meletakkan sasaran untuk mencipta rekod peribadi baharu.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN