VIGO, 22 Oktober - jaringan hatrik oleh Antoine Griezmann membantu pasukannya, Atletico Madrid menewaskan pasukan bergelut, Celta Vigo 3-0 pada perlawanan yang berlangsung di Estadio Municipal de BalaĆdos pada Sabtu.
Atletico Madrid yang turun sebagai pelawat mendapat gol pembukaan menerusi Griezmann pada minit ke-29 selepas penjaga gol Celta Vigo, Ivan Villar menjatuhkan Alvaro Morata dalam kotak penalti.
Pengadil kemudiannya melayangkan kad merah kepada Ivan Villar dan menghadiahkan sepakan penalti yang diambil Griezmann bagi gol pembukaan perlawanan.
Atletico Madrid kemudiannya dilihat menguasai perlawanan, namun mensia-siakan beberapa peluang bagi mengukuhkan kedudukan. Sebaliknya Celta Vigo dilihat lebih berbahaya dengan serangan balas ke kubu Atletico Madrid.
Serangan balas oleh Celta Vigo, hampir-hampir membuahkan hasil, namun, rembatan Jonathan Bamba melepasi palang. kedudukan separuh masa pertama berakhir dengan keputusan 1-0.
Bersambung babak kedua, Atletico Madrid mendominasi perlawanan dan berjaya menjaringkan gol kedua menerusi Antoine Griezmann pada minit ke-64 sekali gus gol kedua peribadinya pada perlawanan tersebut.
Griezmann sekali lagi menjadi duri dalam daging buat pertahanan Celta Vigo apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-70 yang berpunca dari serangan balas yang dimulakan oleh Nahuel Molina.
Kedudukan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan menyaksikan Atletico Madrid mengumpul 22 mata dan berada di tangga kedua mengekori rapat pendahulu liga, Real Madrid.
Sementara itu, Griezmann yang ditemui selepas perlawanan berkata, perlawanan menentang Celta Vigo sukar memandangkan corak permainan bertahan yang ditampilkan pasukan berkenaan.
"Sukar bagi kami (Atletico Madrid) mencipta peluang, kerana mereka bertahan dengan baik.
"Namun, ketika mereka bermain dengan 10 orang, ia memudahkan kami.Terutamanya ketika mendahului 2-0. Kami lebih tenang.
"Ini sangat mengagumkan menang denga kedudukan selesa", kata Griezmann kepada Movistar Plus.-REUTERS
(FOTO AFP)