KUALA LUMPUR, 23 Oktober - Perseorangan badminton lelaki negara Lee Zii Jia mensia-siakan peluang untuk menambah koleksi kejuaraan selepas tunduk kepada Weng Hong Yang dari China pada final Terbuka Denmark 2023 di Jyske Bank Arena, Odense, malam ini.
Zii Jia, pemain ranking ke-11 dunia yang masih segar dengan kejayaan merangkul kejuaraan Terbuka Artik di Finland bulan lepas, ternyata tidak berada pada prestasi terbaik apabila Hong Yang (ranking dunia ke-22) hanya memerlukan 33 minit untuk menoktahkan kemenangan 21-12, 21-6.
Kejayaan itu membolehkan Hong Yang melebarkan rekod kemenangan berdepan Zii Jia apabila merakam kemenangan ketiga selepas empat pertemuan.
Sebagai naib juara, Zii Jia membawa pulang wang hadiah kemenangan berjumlah AS$28,900 (RM137,780).
Terdahulu, beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik menamatkan penantian merangkul gelaran Jelajah Dunia sulung mereka selepas menundukkan gandingan dari Indonesia Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 21-13, 21-17 di pentas final.
Terbuka Denmark adalah kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 750. - BERNAMA