CHENGDU, 2 Ogos-Pemenang pingat emas Sukan SEA acara 400 meter lelaki, Umar Osman terus menampilkan larian bertenaga di temasya Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China,
Selepas memperbaharui rekod kebangsaan miliknya pada pusingan saringan semalam, atlet berusia 20 tahun itu sekali lagi memecahkan rekod tersebut hari ini.
Pada saingan separuh akhir itu, Umar mencatat masa 46.09 saat, sekali gus menyaksikannya layak ke acara final esok selepas berada di tempat keempat keseluruhan.
Atlet Australia, Reece Nathaniel Holder muncul pelari terpantas pada separuh akhir dengan masa 45.75 saat.
Semalam, Umar mencatat 46.33 saat pada pusingan saringan untuk menamatkan saingan di tempat kedua secara keseluruhan.
Catatan itu membolehkan beliau memecahkan rekod kebangsaan 46.34 saat yang dilakukan pada Sukan SEA 2023 di Phnom Penh, Mei lepas.