fb fb fb fb fb

Nur Humaira sasar emas di Sukan Sea 2025

Atlet taekwondo negara, Nur Humaira Abdul Karim/foto Bernama

KUALA LUMPUR, 6 Julai - Atlet taekwondo wanita negara, Nur Humaira Abdul Karim optimis mampu meraih pingat emas dalam acara poomsae berpasangan campuran di Sukan SEA 2025 di Thailand yang dijadual berlangsung hujung tahun ini.

Nur Humaira berkata gandingannya bersama Jason Loo kini semakin mantap dan konsisten, selepas menunjukkan peningkatan prestasi dalam beberapa kejohanan antarabangsa yang disertai, termasuk membawa pulang pingat emas di Kejohanan Terbuka Austria baru-baru ini.

“Saya yakin dapat mengekalkan momentum kemenangan kerana kami telah menunjukkan prestasi yang konsisten di pentas antarabangsa. Gandingan kami semakin serasi dan saya percaya kami berpotensi meraih pingat di Sukan SEA,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Pada edisi Sukan SEA di Kemboja tahun lalu, Nur Humaira meraih pingat emas dalam acara individu dan perak dalam acara berpasukan. Namun, edisi kali ini tidak mempertandingkan acara individu, sebaliknya hanya melibatkan kategori berpasangan, berpasukan dan gaya bebas.

Sebagai persediaan menghadapi temasya dwitahunan itu, beliau memaklumkan akan menyertai beberapa kejohanan antarabangsa, termasuk Kejohanan Taekwondo Terbuka Korea Selatan dari 15 hingga 20 Julai ini serta kejohanan di Australia pada September depan.

“Sasaran saya di Terbuka Korea adalah untuk melepasi sekurang-kurangnya dua pusingan awal kerana untuk mara ke final, atlet perlu bertanding antara enam hingga tujuh pusingan.

“Korea Selatan merupakan pencabar utama memandangkan majoriti peserta adalah dari negara tersebut. Kami tidak meletakkan sasaran pingat, sebaliknya lebih kepada kutipan mata dan pengalaman,” katanya.- BERNAMA

AZRUL FAIZAL JUSOH