KUALA LUMPUR, 2 Ogos- Belum lagi reda dengan isu penamatan kontrak Datuk Misbun Sidek, Persatuan Badminton Malaysia, BAM menerima tamparan apabila Presiden badan induk itu, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan peletakan jawatannya pada penghujung tahun ini.
Norza berkata, keputusan itu dibuat selepas mengakui telah mempunyai senarai nama beberapa individu yang dikatakan mampu mengisi kekosongan yang ditinggalkannya bagi mengemudi badan induk itu.
“Saya juga mahu buat pengumuman hari ini bahawa saya akan meletakkan jawatan pada penghujung tahun ini.
“Bagaimanapun, saya sudah ada beberapa nama yang berpotensi dan nama-nama tersebut sudah diserahkan kepada Majlis", katanya kepada pemberita ketika ditemui di ABM di sini.
Keputusan itu menyaksikan beliau bakal mengosongkan kerusi nombor satu badan induk berkenaan lebih awal berbanding selepas tamat Sukan Olimpik Paris 2024 seperti yang diumumkannya pada 15 Julai lalu.
Tan Sri Norza mula memegang tampuk kepimpinan BAM pada 2017, menggantikan tempat Tan Sri Tengku Mahaleel Tengku Ariff.
(FOTO RTM)