fb fb fb fb fb

Lebih ramai atlet pelapis ke Sukan Para Asia (APG) 2025 Thailand

Sukan Para Asia (APG) 2025 Thailand/foto Bernama

KUALA LUMPUR, 6 Julai - Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) akan mengetengahkan lebih ramai atlet pelapis untuk bertanding pada Sukan Para Asia (APG) 2025 yang akan berlangsung di Nakhon Ratchasima, Thailand, dari 20 hingga 26 Januari depan.

Presidennya, Datuk Seri Megat D. Shahriman Zaharudin berkata, pemilihan ini memberi tumpuan kepada barisan atlet muda, khususnya mereka yang telah menunjukkan potensi besar dalam temasya Para SUKMA Sarawak tahun lalu.

Langkah ini merupakan inisiatif jangka panjang ke arah pembentukan pasukan negara yang lebih mantap menjelang Sukan Paralimpik 2028 di Los Angeles (LA28).

"Kita akan memanggil mesyuarat untuk Sukan Para Asia (APG) dan Sukan Para Remaja Asia (AYPG) pertengahan bulan ni yang akan kami yang maklumkan semua persatuan para kebangsaan untuk persediaan ke kejohanan berkenaan.

"Setakat ini, persiapan ke arah penyertaan kedua-dua kejohanan tersebut telah pun dimulakan, fokus utama adalah untuk memastikan hanya atlet dan pasukan terbaik akan mewakili negara, sekali gus menjamin pencapaian prestasi terbaik.

"Pihak MSN turut menekankan kepentingan memperkasa pembangunan atlet para baharu dalam usaha menutup jurang prestasi dan melahirkan lebih ramai bakat pelapis.

"Oleh itu, satu pendekatan baharu berbentuk 'hybrid mix formula' akan dilaksanakan, menggabungkan atlet berpengalaman dan muka baharu dalam skuad kebangsaan," katanya selepas bengkel memperkasakan Persatuan Sukan Para Kebangsaan Fasa 2 di sini, hari ini.

Tambah beliau, setakat ini seramai 150 atlet pelapis telah dipilih dan hanya 20 hingga 30 orang akan disenarai pendek ke peringkat seterusnya berdasarkan merit.

Pengumuman rasmi mengenai pemilihan atlet akan dibuat bersama pihak Majlis Sukan Negara dalam masa terdekat.

AZRUL FAIZAL JUSOH