fb fb fb fb fb

Bekas penjaga gol Allahyarham Firos Mohammed selamat dikebumikan

Foto Bernama

TELUK KUMBAR, 6 Julai - Jenazah bekas penjaga gol Pulau Pinang era 1990-an, Allaharham Firos Mohammed, 53 tahun selamat dikebumikan di Tapak Perkuburan Islam Masjid Ridwaniah, Sungai Batu, Teluk Kumbar pukul 4 petang tadi.

Terdahulu, solat jenazah berlangsung di Surau Kampung Melayu, Air Itam di hadiri kira-kira 500 orang di tanah perkuburan dan di surau tersebut.

Presiden Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Pulau Pinang, Razwan Mokhtar menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar arena bola sepak negara khususnya dalam bidang kejurulatihan penjaga gol.

"Masa kami panaskan badan pun dia macam tak semangat, selalunya dia salah seorang yang semangat dan kami perlukan dia di gawang untuk game pertama tu, separuh masa kedua tu kejadian berlaku, masa separuh masa pertama dia tak beritahu tak larat.

Jadi rasa sedih satu kehilangan yang besar kepada persatuan dan juga Pulau Pinang sebab dia terbabit dalam kerjaya sebagai coaches untuk keeper anak anak muda untuk akademi dan Pulau Pinang sebab persatuan ada perancangan untuk membantu pasukan di mas akan datang." kata Razwan.

Menurut salah seorang pelatih penjaga gol Danial Hakim, Allahyarham disifatkan sebagai jurulatih yang sentiasa memberi motivasi.

"Saya mengambil latihan bersama jurulatih Firos dan bersama Allahyarham selama 3 tahun dan dia sangat memberi motivasi dan inspirasi kepada saya untuk jadi penjaga gol seperti dia dan saya harap satu hari nanti dapat membanggakan dia." katanya

Semalam, Allahyarham rebah ketika beraksi dengan pasukan Legenda Pulau Pinang menentang Kedah di Stadium Majlis Perbandaran Manjung dalam Piala Dr Zambry Abd Kadir.

Allahyarham Firos dikenang sebagai antara penjaga gol terbaik yang pernah mewakili skuad Harimau Kumbang dan menjadi antara tarikan utama dalam kejohanan ini, khususnya buat penyokong yang hadir.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan tiga orang anak lelaki.

AZRUL FAIZAL JUSOH