KUALA LUMPUR, 8 September - Pelari 400 meter (m) kebangsaan Umar Osman akan mewakili negara menerusi tiket 'wild card 'pada Kejohanan Olahraga Dunia 2025 di Tokyo, Jepun yang berlangsung dari 13 hingga 21 September ini.
Presiden Olahraga Malaysia (MA) Datuk Karim Ibrahim dalam satu kenyataan memaklumkan, pemilihan Umar berdasarkan pencapaian cemerlang sepanjang 2025, merangkumi prestasi konsisten, kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta potensi besar untuk menyerlah di pentas antarabangsa.
"Beliau kini memegang catatan terbaik peribadi 46.09 saat, yang juga merupakan rekod kebangsaan. Antara pencapaian terbaik beliau tahun ini adalah catatan masa 46.25 saat yang direkodkan pada Kejohanan Olahraga Asia di Gumi, Korea pada Mei lalu.
“Memandangkan tiada atlet negara yang berjaya melayakkan diri secara merit ke Kejohanan Olahraga Dunia 2025, slot wild card telah diberikan kepada Umar," menurut kenyataan itu.
Olahraga Malaysia yakin penyertaan Umar akan menjadi inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, di samping menyemarakkan semangat perjuangan atlet negara di pentas dunia.
