AYER KEROH, 8 September - Kerajaan Negeri Melaka menyalurkan insentif khas RM50,000 kepada jaguh badminton negara, Toh Ee Wei yang merangkul gelaran Kejohanan Dunia di Paris, menerusi kategori beregu campuran.
Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menerusi hantaran di Facebook berkata anak kelahiran Melaka itu wajar diberi pengiktirafan selepas berjaya mengharumkan nama Malaysia dan Melaka di persada dunia.
"Saya berbangga dan menyambut baik hasrat Ee Wei yang bercadang untuk menubuhkan sebuah akademi badminton di Melaka" katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata ia salah satu cara atlet berkenaan berbakti kepada negeri kelahirannya selain mahu melahirkan lebih ramai jaguh sukan badminton.
Menerusi perkongsian sama, Datuk Seri Ab Rauf turut berkongsi beberapa foto pertemuan dengan atlet negara berkenaan di Kompleks Seri Negeri, di sini.
