KUALA LUMPUR, 8 September - Arab Saudi bersedia sepenuhnya menjelang edisi keenam Sukan Solidariti Islam 2025 yang akan berlangsung dari 7 hingga 21 November 2025.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur Tertinggi, Tuanku Putera Fahad Jalawi berkata persiapan berjalan lancar bagi menyambut kehadiran atlet, pegawai dan penyokong dari seluruh negara Islam.
“Arab Saudi amat berbesar hati menyambut kehadiran kontinjen dari 57 negara yang bakal bersaing dalam 23 acara sukan, termasuk dua acara para.
"Buat julung kalinya perlumbaan unta dan e-Sukan turut disenaraikan dalam program pertandingan," katanya menerusi satu kenyataan.
Jelasnya temasya ini mencerminkan iltizam negara terhadap perpaduan dunia Islam serta menyediakan platform terbaik untuk atlet bersaing, menjalin hubungan dan memberikan inspirasi kepada generasi akan datang.
Antara 23 jenis sukan yang bakal dipertandingkan termasuk bola baling, bola keranjang, olahraga, renang, angkat berat, tinju, karate, judo, wushu, jiu-jitsu, futsal, muay thai dan ekuestrian.
Sukan Solidariti Islam diiktiraf sebagai acara sukan ketiga terbesar dunia selepas Sukan Olimpik dan Sukan Asia.
Ini sekali gus mengukuhkan peranannya sebagai platform penyatuan bakat sukan dari negara-negara Islam.
Pada penganjuran edisi lalu di Turkiye, kontinjen Malaysia merekodkan kedudukan ke-10 dalam carta pungutan pingat.
