LONDON, 8 September - Penjaga gol Manchester United, Andre Onana akan menyertai kelab Turkiye, Trabzonspor secara pinjaman, menurut laporan media tempatan.
Perjanjian juga dilapor telah dicapai antara kedua-dua pasukan.
Meskipun jendela perpindahan telah tertutup bagi kebanyakan liga eropah pada 1 September lalu, namun pasukan di Liga Super Turkiye masih boleh membawa masuk pemain baharu sehingga 12 September.
Terdahulu Onana menyertai skuad The Red Devils daripada Inter Milan pada 2023, bertemu semula bekas ketua jurulatih Ajax Erik ten Hag.
Pemain Cameroon berusia 29 tahun itu telah membuat 102 penampilan bersama United dalam tempoh dua musim di Old Trafford.
Bagaimanapun persembahannya kurang menyerlah bawah kendalian Ruben Amorim dengan United turut menandatangani penjaga gol Belgium Senne Lammens pada jendela perpindahan sama. - REUTERS
