KUALA LUMPUR, 8 September - Dua pasukan ProTeam dari Perancis, Team TotalEnergies dan Unibet Tietema Rockets, kembali bersaing dalam perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025.
Kedua-dua pasukan berkenaan sekian lama tidak beraksi dalam jelajah berstatus tertinggi di Asia itu.
TotalEnergies merupakan nama baharu bagi pasukan Bonjour, Bouygues Telecom, Bbox-Bouygues dan Europcar yang pernah bersaing pada awal dekad lalu.
Ia kemudian bertukar penaja kepada Direct Energie yang mengambil alih pasukan tersebut pada 2016, sebelum didaftarkan sebagai pasukan ProTeam pada 2020.
Unibet Tietema Rockets pula pernah beraksi dalam LTdL edisi 2007, namun isu penajaan syarikat perjudian dalam sukan berbasikal menyebabkan mereka menarik diri sebelum kembali aktif pada 2023.
Ketua Pegawai Operasi LTdL 2025, Emir Abdul Jalal menyatakan kedua-dua pasukan itu dijangka memberi tumpuan pada peringkat pendakian termasuk Gerik-Pasir Puteh, Temerloh-Bukit Fraser serta peringkat terakhir membabitkan Bukit Antu dan Look Out Ampang.
LTdL 2025 akan merentasi 12 negeri di Semenanjung dengan lapan peringkat sejauh 1,243.5 kilometer dan akan membuka tirai di Langkawi pada 28 September.
