fb fb fb fb fb

UEFA: Perancis tundukkan Belgium, Jerman unggul di Munich

Penyerang Perancis, Randal Kolo Muani, mengawal bola semasa perlawanan bola sepak Liga Negara UEFA, Liga A, Kumpulan 2 antara Belgium dan Perancis / Foto AFP

BRUSSELS, 15 Oktober – Dua perlawanan tumpuan Liga Negara UEFA berlangsung awal pagi tadi, menyaksikan Perancis berjaya menundukkan Belgium di Stadium King Baudouin, di sini manakala Jerman cemerlang mengatasi Belanda di Munich.

Dalam saingan Liga A, Kumpulan 2, Perancis terlebih dahulu membuka jaringan menerusi penyerang mereka, Randal Kolo Muani, pada minit ke-35.

Namun, kelebihan itu tidak bertahan lama apabila penyerang utama Belgium, Lois Openda, menyamakan kedudukan pada masa kecederaan separuh masa pertama.

Masuk separuh masa kedua, Muani sekali lagi menjadi wira Perancis apabila berjaya menyudahkan sepakan penalti, meletakkan pasukan pelawat di depan dengan kedudukan 2-1.

Tiada tambahan jaringan selepas itu, menyaksikan Perancis meraih tiga mata berharga.

Perancis kini menduduki tangga kedua liga dengan 9 mata, meninggalkan Belgium yang hanya mengumpul 4 mata di tempat ketiga.

Dalam saingan Liga A, Kumpulan 3, jaringan tunggal pemain sayap Jerman, Jamie Leweling, pada separuh masa kedua, cukup untuk menghadiahkan kemenangan buat pasukan tuan rumah.

Jerman lebih banyak melancarkan serangan dengan 5 percubaan tepat, manakala Belanda hanya menghasilkan satu percubaan tepat sepanjang perlawanan.

Kemenangan tipis ini membolehkan skuad kendalian Julian Nagelsmann menguasai tangga teratas liga dengan 10 mata, lima mata di depan Belanda yang berada di tempat kedua.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN