fb fb fb fb fb

Komuniti bola sepak 7s sasar penganjuran liga domestik

Foto FB Asia 7s

KUALA LUMPUR, 14 Oktober- Komuniti bola sepak tujuh sebelah (7s) tempatan berharap sebuah liga yang teratur dapat diwujudkan.

Perkara itu disuarakan berikutan kejayaan skuad negara mara ke separuh akhir pada edisi kedua Kejohanan Bola Sepak Asia 7s 2024 yang berlangsung di EV Arena Elmina, Shah Alam, minggu lepas.

Ketua jurulatih skuad bola sepak 7s negara, Sulaiman Hussin berkata, beliau percaya liga domestik sukan itu akan melengkapi ekosistem bola sepak sedia ada.

“Dengan satu set peraturan dan undang-undang berbeza yang menggabungkan bola sepak dan hiburan, saya percaya liga domestik 7s mempunyai masa depan dan mampu berkembang maju."

“Setakat ini, permainan ini dimainkan secara rekreasi, tetapi jika kita pertimbang menjadikannya sebagai sebahagian daripada ekosistem bola sepak Malaysia, sebuah liga yang teratur adalah diperlukan."

"Ia perlu seiring varian bola sepak lain seperti futsal, bola sepak pantai dan bola sepak wanita,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam menyokong idea itu, ketua pasukan skuad 7s Malaysia Razman Roslan berkata permainan ini memerlukan kepantasan berfikir seperti futsal serta aspek teknikal dan fizikal bola sepak 11 sebelah (11s).

“Liga yang teratur akan menjadi platform membangunkan bakat untuk pasukan 11s dan mencipta peluang bagi mereka yang tersisih daripada arus perdana untuk bermain dan menikmati varian lain bola sepak,” katanya. 

Bagi edisi kedua Kejohanan Bola Sepak Asia 7s 2024, kempen tuan rumah Malaysia berakhir di separuh akhir selepas tewas 0-3 kepada Jepun yang mempertahankan gelaran dengan kemenangan 2-1 ke atas Filipina semalam.- BERNAMA

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM