KUALA LUMPUR, 29 Oktober- Dua beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani melangkah ke pusingan kedua Terbuka Hylo selepas menewaskan lawan masing-masing di Saarbrucken, Jerman.
Aaron-Woi Yik yang turun selaku pilihan pertama dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan pasangan dari England, Alex Green-Zach Russ, 25-23, 21-14.
Manakala, gandingan Sze Fei-Nur Izzuddin yang juga pilihan kedua kejohanan menundukkan beregu Scotland, Alexander Dunn-Adam Pringle, 21-17, 22-20.
Terdahulu, satu lagi beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengalahkan rakan senegara, Yap Roy King-Wan Arif Wan Junaidi dalam aksi pembukaan yang sengit.
Beregu nombor lima dunia itu mempamer ketahanan mental dan ketenangan permainan untuk mencatat kemenangan 21-16, 19-21, 21-16 dalam pertarungan selama 53 minit.
Kejayaan mereka hadir ketika satu lagi pasangan negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi tersingkir selepas tewas 16-21, 17-21 kepada beregu Indonesia, Leo Rolly Carnando-Bagas Maulana.