fb fb fb fb fb

Terbuka Denmark 2024 : Aaron-Wooi Yik lepasi halangan pertama

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 15 Oktober - Beregu badminton lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik memulakan kempen mempertahankan gelaran Terbuka Denmark dengan langkah kanan selepas berjaya melangkah ke pusingan kedua, hari ini.

Dalam perlawanan di Jyske Bank Arena, pemenang pingat gangsa Olimpik Paris 2024 itu beraksi cemerlang apabila menundukkan beregu Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura 28-26, 21-11 dalam pertarungan sengit selama 49 minit.

Kemenangan ini juga mengekalkan rekod bersih mereka ke atas Mitsuhashi-Okamura, setelah turut menewaskan pasangan yang sama pada Terbuka India 2024 dan Kejohanan Badminton Asia 2024.

Namun, Aaron mengakui tempoh rehat yang lama tanpa aksi kompetitif membuatkan mereka perlu mencari semula rentak permainan.

"Ini adalah kejohanan kedua kami selepas lama beraksi. Walaupun kami berpengalaman, sudah lama kami tidak beraksi di gelanggang, jadi banyak perkara yang perlu disesuaikan semula," katanya menerusi rakaman audio yang dikongsikan Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Sementara itu, Wooi Yik yang baru pulih daripada kecederaan retak jari kaki berkata perubahan strategi pada set kedua memastikan kemenangan mereka.

Menanti gandingan itu di pusingan kedua pada Khamis adalah pemenang perlawanan antara rakan senegara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dengan beregu England, Callum Hemming-Ethan Van Leeuwen.

Sementara itu beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie terpaksa pulang lebih awal apabila tewas kepada pasangan Perancis, Thom Gicquel-Delphine Delrue, 21-9, 22-24,10-24. -BERNAMA

Trainee2