PORTO, 16 November- Portugal mengesahkan tempat ke suku akhir Liga Negara-Negara UEFA selepas kemenangan besar 5-1 ke atas Poland, awal pagi tadi.
Aksi Kumpulan A1 itu menyaksikan dua gol dijaringkan bintang utamanya, Cristiano Ronaldo, satu menerusi sepakan penalti dan satu lagi sepakan akrobatik.
Rafael Leao membuka jaringan pada minit ke-60 dengan tandukan, sebelum Ronaldo menggandakan kelebihan menerusi sepakan penalti pada minit ke-72, disempurnakan dengan penuh keyakinan ke tengah gol.
Tuan rumah kemudiannya menjaringkan tiga gol dalam tempoh lapan minit menerusi Bruno Fernandes, Pedro Neto dan satu gol bijak Ronaldo, sebelum Dominik Marczuk merapatkan jurang untuk Poland pada minit ke-88.
Portugal, yang masih belum tewas, kini mendahului kumpulan dengan 13 mata, enam mata di hadapan Croatia.
Scotland menampilkan kejutan apabila menewaskan Croatia 1-0, namun terpaksa akur berada di kedudukan tercorot selain berkongsi empat mata dengan Poland yang berada di tempat ketiga.
Poland akan menjadi tuan rumah kepada Scotland pada perlawanan terakhir Isnin ini, manakala Portugal akan berkunjung ke Croatia.
Portugal, berjaya menamatkan rekod tanpa kalah Poland selama dua tahun di tempat sendiri, apabila menang 3-1 dalam perlawanan di Warsaw bulan lepas.
Bekas juara edisi 2019 itu kehilangan mata pertama mereka pada perlawanan terdahulu, apabila terikat 0-0 dengan Scotland pada 15 Oktober, memastikan kedudukan dua teratas keempat berturut-turut dalam kejohanan ini.- REUTERS