KUALA LUMPUR, 16 November- Pasukan Mobile Legend Bang-Bang (MLBB) Malaysia melakar sejarah apabila muncul juara Kejohanan Dunia e-sukan IESF selepas menewaskan Filipina 2-0 pada perlawanan akhir yang berlangsung di Riyadh, Arab Saudi semalam.
Pasukan negara bermula baik apabila memenangi perlawanan pertama dengan keputusan 17 ‘kills’ berbalas 14 dalam aksi yang berlangsung hampir 22 minit.
Pada perlawanan kedua, pasukan Malaysia bermula sedikit goyah namun berjaya mengemaskan corak permainan untuk menang sembilan kills berbalas empat sekali gus menjulang kejuaraan sulung buat negara di kejohanan itu.
Selaku juara, pasukan Malaysia berjaya membawa pulang wang kemenangan berjumlah AS$70,000.
Pasukan negara dibarisi lima anak muda yang hampir sepenuhnya pemain Selangor Red Giants diketuai Muhd Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (Yums), Muhd Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Haziq Danish Mohd Rizwan (Stormie), Ilman Zareef Zulkifli (Gojes) dan ‘Gold Laner’ pasukan JP Niners, Ealtond Rayner (Lolealz).